Amir Nusantara

Khamis, 3 November 2016

4 perkara yang PERLU TIADA bagi penuntut ilmu

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera


Rasanya sudah sekian lama saya tidak mampir ke blog ini, mungkin atas keterbatasan waktu dan kesibukan hal-hal yang lain, Namun hari ini saya mendapat sedikit kekuatan dan motivasi untuk menulis satu pengisian yang baru.

Seusai kuliah Magrhib di Masjid UMS sebentar tadi maka saya ingin turut berkongsikan beberapa perkara yang sempat saya "ikat" dalam buku saya,

Islam agama yang meliputi segenap perkara, daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Islam sangat menitik beratkan soal Ilmu, sehinggakan menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas umat Islam. Ibadah seperti Solat, Puasa dan banyak lagi ibadah wajib yang lain hanya dapat dilakukan dengan sempurna melalui Ilmu. Para Ulamak berpendapat bahawa suatu perkara yang mana apabila tiadanya akan menyebabkan suatu perkara yang wajib itu tidak sempurna, maka ia adalah wajib. Oleh sebab itulah menuntut Ilmu itu adalah Wajib.

Nabi Musa A.S sanggup menempuh berbatu-batu perjalanan bersama dengan Nabi Khidir A.S semata-mata untuk menuntut Ilmu


begitu juga dengan Jabir bin Abdillah sanggup berjalan selama sebulan demi mendapatkan 1 hadis daripada Abdullah bin Unais,

Demikianlah digambarkan perihal pentingnya Ilmu di dalam kehidupan manusia…

Maka dengan itu saya ingin berkongsi seculin pengetahuan yang saya peroleh, yang mana ia berkaitan dengan 4 perkara yang PERLU TIADA tatkala kita ingin menuntut Ilmu. 

1. Membesarkan diri/ bangga diri/ sombong. Sifat seperti ini perlu disingkirkan pada diri seorang penuntut ilmu. Ilmu yang diperoleh manusia hanyalah ibarat setitis air di lautan, namun dengan setitis itulah manusia berasa dirinya lebih hebat daripada orang lain, dengan setits itulah manusia membelakangkan Tuhan, malah ada yang berlagak seperti Tuhan. Kerana apa? Kerana sombong, takbur, berasa dirinya lebih baik daripada yang lain. Kita pasti tahu mengapa Iblis terlaknat selamanya, bukan kerana dia berzina, bukan kerana merompak, tetapi kerana sombong, berasa dirinya jauh lebih hebat daripada Adam A.S.

2. Berasa cukup dengan Ilmu yang diperoleh. Janganlah seorang penuntut ilmu itu berasa dirinya sudah cukup berilmu sehingga dia enggan untuk mencari ilmu lagi. Sedangkan menuntut ilmu itu adalah proses sepanjang hayat.

3. Malas. Malas akan menenggelamkan manusia dalam dunia ini, ia ibarat kubur bagi mereka yang masih hidup.

4. Malu. Sifat malu itu adalah satu sifat mulia, namun dalam perihal menuntut ilmu, sifat malu adalah suatu sifat yang terlarang. Sehinggakan dalam peribahasa Melayu mengatakan bahawa malu bertanya sesat jalan. Contohnya kita pandai membaca al Quran, namun kita malu bertanya kepada orang yang pandai, maka kita akan kekal dalam kejahilan, sedangkan al Quran adalah rujukan utama Umat Islam. Mereka yang membaca al Quran, kelak akan mendapat pertolongan di akhirat.


Mungkin setakat itu saja untuk perkongsian kali ini, segala perkara kebaikan itu adalah datang daripada Allah, dan keburukan itu adalah atas kelemahan diri saya sendiri. sekiranya ada sebarang kesilapan dan kekurangan mohon untuk ditegur agar dapat pula diperbaiki.


Wallahu A’lam

2 ulasan:

  1. Terima kasih atas perkongsian ini tuan.. semoga 4 perkara ini dapat diatasi dalam diri..☺

    BalasPadam