Amir Nusantara

Jumaat, 4 November 2016

Bencana yang lebih dahsyat

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
 



Hari ini, November 4, penghuni dunia maya terutamanya facebook banyak membicarakan soal bencana Tsunami yang diramal akan membadai daerah Kudat, Sabah. Menurut laporan berkenaan, bukan hanya daerah Kudat, malah kawasan-kawasan sebelah Pantai Barat Sabah turut menerima nasib yang sama. Namun ditekankan daerah Kudat kerana kawasan tersebut kononnya yang akan menerima kesan awal sebelum membadai kawasan-kawasan yang lain. menurut apa yang diramalkan itu, ombak Tsunami yang bakal melanda itu boleh mencecah sehingga 50 meter tingginya. Na’uzubillahiminzalik, betapa dahsyatnya bencana itu, menimbulkan rasa gerun setiap orang yang mendengarnya. Maka disebabkan kekhuatiran itulah, ramai yang sudah mencongak strategi untuk menyelamatkan diri seandainya bencana itu benar berlaku kelak.


Beberapa minggu yang lepas juga, terdapat satu khabar angin yang mengatakan bahawa Sabah bakal dibadai oleh ribut taufan, kononnya ribut itu akan melanda dalam tempoh 2 minggu selepas berita itu diterima. Syukur Alhamdulillah sehingga hari ini sudah beberapa minggu berlalu namun bencana itu tidak juga terjadi. Khabar angin yang disampaikan itu turut disertai dengan nasihat agar masyarakat berjaga-jaga, membuat persedian apa yang perlu. Berdoa memohon perlindungan daripada Allah.
Benarkah ramalan-ramalan mereka itu? persoalan sebegini mungkin timbul dalam pemikiran masyarakat. Bagi saya, apa yang dikatakan bahawa akan terjadinya bencana itu memang benar, malah bukan hanya melibatkan Kudat, malah seluruh pelusuk Sabah, Malaysia dan Dunia. Allah menegaskan dalam Al Quran bahawa segala apa yang di atas muka bumi ini akan fana (binasa). Ini bukan lagi ramalan, tapi kepastian.

Persedian menghadapi bencana

Apabila dikhabarkan akan berlaku bencana yang bukan alang kepalang dahsyatnya, timbul rasa gerun dalam hati setiap insan. Kemana harus aku pergi untuk menyelamatkan diri? Apa perlu aku buat? Itu antara persoalan utama yang bermain dalam minda individu. Ramai yang mencari jalan, membuat persediaan kononnya untuk menhadapi bencana yang dahsyat itu. itulah sebenarnya sifat umat kita ini, apabila diperdengarkan kepada mereka oleh orang-orang yang kononya pakar dalam bidang kaji bumi tentang akan berlakunya bencana yang amat dahsyat, maka bersegeralah mereka membuat persiapan.

Namun agak pelik, kita yang kononya mengaku sebagai orang yang beriman, tidak berasa gerun dengan amaran yang telah dikeluarkan oleh Allah sendiri, sedangkan Allah itu pemilik bumi ini, Dia mengetahui apa yang telah, sedang dan bakal terjadi.

Wahai jiwa insani,
siapakah yang kita Imani?
Ahli kaji bumi? Atau Ilahi?

Bencana yang mungkin kita hadapi dan bencana yang pasti kita hadapi

Ramalan-ramalan yang dilaporkan itu sememangnya akan berlaku, malah ia jauh lebih dahsyat daripada yang diramalkan itu, namun bila masanya ia akan berlaku, itu adalah ilmu Allah, manusia tidak mengetahuinya, kecuali mereka yang diberi izin oleh Allah. Dan kita pula, yang begitu khuatir akan bencana yang mereka ramal itu, belum tentu sempat untuk berdepan dengannya, mungkin saja kita akan mati sebelum bencana itu terjadi. Siapalah tahu selepas membaca ini, tiba-tiba mati. Maka apa yang perlu kita utamakan sekarang bukanlah bencana yang diramalkan itu, tetapi bencana yang pasti berlaku dan yang paling hampir dengan kita, itulah dia kematian. Orang yang bijak itu senantiasa ingat akan kematiannya, dia sentiasa melakukan persediaan untuk itu, bukannya dia membimbangi perkara yang belum tentu sempat dia hadapi.

Kita kononnya cuba membuat persediaan untuk menghadapi bencana yang dahsyat, tetapi kita terlupa untuk membuat persediaan untuk menghadapi kematian. Sesungguhnya mati dalam keadaan tanpa membuat persediaan itu adalah bencana yang jauh lebih dahsyat daripada bencana-bencana yang lain.  

Wallahu A’lam

Dari ruang pemikiranku yang kecil,
Ada beberapa ayat yang aku nukil,
Moga saja ia dapat difahami,
Sebarang silap mohon diajari untukku perbaiki.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan