Amir Nusantara

Ahad, 3 Mei 2015




Siapakah orang yang berakal?

Hari demi hari yang kita lalui sewajarnya tidak memerangkap kita dalam kerugian dan kehampaan. Masa demi masa yang kita lalui dalam perjalanan kehidupan yang sementara ini seharusnya tidak menjerat kita dalam kemusnahan dan kehinaan. Justeru, marilah kita penuhi detik umur kurniaan Allah ini dengan melaksanakan amal soleh dan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.


”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal sholih dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran” (QS. Al ‘Ashr). 
                                                                                                                              

                Hanya orang-orang yang bertaqwa sahaja yang tidak akan mempersia-siakan nikmat kehidupan yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Orang yang bertaqwa tidak mudah lalai dengan urusan duniawi. Hati mereka tidak mudah terlena oleh nafsu.

Ada orang yang menganggap bahawa orang yang berakal itu ialah orang yang memiliki kelulusan tertinggi dalam pengajian seperti di Universiti. Ada pula yang berpendapat mereka yang berakal ini ialah orang yang bijak mengatur strategi ketika menghadapi masalah.


                
 Pandangan sedemikian sememngnya tidak benar sekiranya dilihat dari perspektif yang digariskan dalam agama Islam yang berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasul.

                Syeikh Abu Bakar Muhammad al-Bahsany dalam kitabnya Tafsir Gharibul Quran memberikan takrif yang menarik tentang ciri-ciri orang yang berakal. Ilmuan tafsir itu berkata bahawa al-‘Aakil atau orang yang berakal itu ialah orang yang dapat menahan dan menjauhkan diri daripada dorongan hawa nafsu.

Hal ini bermaksud bahawa manusia yang sering mengikut runtutan hawa nafsu amaranhya, tidak boleh dikategorikan sebagai orang yang berakal walaupun mereka mempunyai kelulusan yang tinggi. Ayuh renungkan, di manakah keadaan kita sekarang?

Seorang sarjana hendaklah tidak memisahkan antara kesarjanaannya dengan tuntutan iman dan taqwa, kerana semakin seseorang itu mendapat ilmu, maka sewajarnya dia semakin dekat dengan Maha Pencipta. Tetapi lihat sahaja sebilangan masyarakat hari ini, semakin tinggi kelulusan semakin kuat melawan Tuhan.

Hal yang sama buat orang yang bijak menyusun strategi dan mampu menyelesaikan sesuatu masalah di hadapannya, belum dapat dianggap al-‘Aakil jika dia gagal menghubungkan kebijaksanaan stategiknya itu dengan tuntutan iman, jika dia memisahkan kelebihan kepintaran itu daripada ketaqwaan ke hadrat Allah SWT.

Golongan yang kononnya hebat dalam segala ilmu seandainya mereka menjauhkan diri daripada pedoman dan menjadikan kepintarannya untuk hal dunia semata-mata maka sesungguhnya mereka menempah kebinasaan dan kehinaan.

Kepintaran sewajarnya digunakan untuk beramal soleh memperjuangkan agama Allah dan bukannya digunakan untuk kemaksiatan yang akhirnya akan menjunamkan mereka di jurang kemusnahan akibat dorongan hawa nafsu. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Haman, pakar strategic Firaun, seperti azab yang telah membinasakan kaum ‘Aad dan Thamud yang bijak dalam strategic peradaban tetapi akhirnya dimusnahkan oleh Allah disebabkan ingkar dan dibelenggu hawa nafsu.

Belum dikira ‘Aakil juga bagi orang-orang yang mampu menawan hati orang lain tetapi masih gagal menawan hati mereka sendiri untuk bertaqwa kepada Allah. Apalah ertinya lidah yang mampu memukau ribuan orang lain sekiranya hati sendiri tidak mampu ditundukkan.


Dapatlah disimpulkan bahawa ‘Aakil ialah orang yang menahan dirinya daipada godaan hawa nafsu. Golongan ini tidak menyalahgunakan ilmunya untuk kepentingan nafsu. Akal mereka dipimpin oleh iman yang membawa pandangan hidup ke hari akhirat, bukan akal yang pendek yang dipimpin oleh hawa nafsu memilih hidup bergelumang kemungkaran dan maksiat.





Dipetik dan diubahsuai daripada Mimbar JHEAINS 2003

Tiada ulasan:

Catat Ulasan