Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Kali ini teman ingin berkongsikan serba sedikit tentang seorang tokoh yang tidak asing lagi di Malaysia...
Tun Abdullah bin Haji Ahmad
Badawi atau mesra dipanggil sebagai Pak Lah dilahirkan pada 26 November 1939 di
Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau merupakan anak kepada
pasangan Datuk Ahmad Abdullah Fahim dan Datuk Khailan Hassan. Ayah Beliau
adalah seorang ulama yang juga merupakan anak kepada seorang ulama tersohor
iaitu Sheikh Abdullah Fahim. Pak Lah merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-5, mewarisi kepimpinan daripada
Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Beliau juga merupakan bekas Presiden UMNO ke-6.
selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri Malaysia, 1 September 2009, beliau
dilantik menjadi Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Tun Abdullah menerima pendidikan menengah di Sekolah
Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist
Boys School, Pulau Pinang. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di
Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang
Pengajian Islam pada tahun 1964. Setelah tamat pengajian,Tun Abdullah menyertai
sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan
Awam. Pada tahun 1969, Tun Abdullah berpindah ke Majlis Gerakan Negara
(MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang
ditubuhkan ekoran tercetusnya rusuhan kaum pada Mei 1969. Tun Abdullah
kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian yang
sama pada tahun 1974.
Sebelum menjadi Perdana
Menteri, beliau dilantik pada beberapa jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia.
Namun, beliau dipecat sebagai Menteri kerana menyokong 'Team B' dalam Majlis
Agung UMNO pada tahun 1987. Beliau tidak menjadi anggota kabinet lagi sehingga
1991. Anwar Ibrahim, yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri, dipecat oleh
Tun Dr. Mahathir pada tahun 1998. Pada tahun 1999 Abdullah dilantik sebagai
Timbalan kepada Tun Dr. Mahathir, dan pada tahun 2003, Abdullah akhirnya
mewarisi jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden
UMNO.
Ideologi-ideologi
Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi
Antara ideologi Tun Abdullah
yang masih kelihatan sehingga kini ialah tercetusnya idea Pembinaan Jambatan
Kedua Pulau Pinang. Projek ini diumumkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan
pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Parlimen. Pembinaan
jambatan ini merupakan alternatif bagi mengurangkan masalah kesesakan yang
sering berlaku di jambatan yang sedia ada. Cadangan asal jambatan itu yang
diluluskan dan diumumkan pada 2003. Jambatan ini juga telah mula beroperasi
pada 2014.
Disamping itu, bertepatan dengan
riwayat hidupnya yang membesar dalam keluarga ulama’. Tun Abdullah cuba
menerapkan nilai-nilai keislaman dalam hal ehwal pentadbirannya. Beliau telah
memperkenalkan konsep Islam Hadhari atau "Islam yang bertamadun".
Islam hadari merupakan satu konsep yang cuba ditonjolkan oleh kerajaan Malaysia
dibawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi berasaskan dua sumber utama Islam iaitu
al-Quran dan Hadis. Ia bukannya satu fahaman atau kepercayaan baru, sebaliknya
merupakan usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada ajaran Islam yang sebenar
yang berpandukan al- Quran dan Hadis.
Sebagai seorang pemimpin yang
berjiwa rakyat, isyarat jelas yang diberikan oleh Dato’ Seri Abdullah sejurus
dilantik menjadi PM. Beliau akan menjadi seorang ketua kerajaan yang mendekati
rakyatnya. Sehari selepas beliau
mengankat sumpah beliau terus turun padang untuk bertemu dengan rakyat serta
menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas dengan banjir. Pada 10
Oktober 2002 pula, beliau pernah melakukan lawatan secara mengejut untuk
meninjau perkhidmatan kaunter yang disediakan oleh Jabatan Imigresen di ibu
pejabatnya di Kuala Lumpur.
Tun Abdullah juga cuba
mewujudkan hubungan kerjasama dengan pihak pembangkang. secara tradsisnya,
pihak kerajaan dengan pihak pembangkang sudah pastinya merupakan dua pihak yang
sering bertelagah dan bermusuhan dalam bidang politik. Oleh sebab itu pemimpin
kerajaan jarang sekali memberi ruang kepada pemimpin pembangkang. Lain pula
ceritanya dengan Tun Abdullah, beliau telah pun membawa salam perdamaian kepada
pihak pembangkan sejak hari pertama pertemuan dalam parlimen. Beliau juga
mempelawa pihak pembangkan untuk sama-sama berbincang dan bekerjasama dengan
kerajaan.
Sebagai seorang muslim yang
baik juga, beliau begitu tidak selesa tentang gejala rasuah yang berlaku dalam
negara. Beliau beriltizam memerangi rasuah sehingga ke akar umbi sebaik sahaja
menjadi Perdana Menteri. Beliau juga meminta pegawai-pegawai kerajaan supaya
jangan terlibat dengan gejala jijik itu. Beliau menunjukkan ketegasannya dalam
hal ini sehingga meminta kes-kes yang berkaitan Rasuah supaya disegerakan.
“Kerja bersama-sama saya,
bukan kerja untuk saya”, falsafah inilah yang dipegang oleh Tun Abdullah
sepanjang menjadi pemimpin rakyat Malaysia. Dalam amanat sulungnya sehari
selepas dilantik menjadi perdana menteri, Dato’ Seri Abdullah secara terbuka
meminta semua orang supaya bekerja bersama beliau bukan bekerja untuk beliau
dalam membangunkan bangsa, agama dan negara. Falsafah beliau jelas menunjukkan
bahawa semua lapisan masyarakat tanpa mengira pangkat merupakan rakan dan perlu
berganding bahu untuk mencapai cita-cita bangsa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan