Amir Nusantara

Rabu, 8 Julai 2015

Krisis Air Kota Belud: Kerajaan wajar cari sumber alternatif





Heirarki keperluan Maslow meletakkan keperluan fisiologi sebagai keperluan utama manusia, demikian juga dengan ‘5 Basic needs’ dalam teori Realiti oleh Glasser yang menyebut soal keperluan fisiologi ini untuk kelangsungan hidup manusia. Keperluan Fisiologi ini termasuklah keperluan untuk mendapatkan sumber Air yang bersih untuk menjalankan aktiviti seharian.  


Sebenarnya Saya bukan ingin berkata soal teori-teori itu,
Cuma yang menjadi isu sekarang ini apabila sumber air di beberapa kampung di Kota Belud telah terputus sejak beberapa hari yang lalu. Bukannya perkara baharu sebenarnya apabila Kota Belud menghadapi krisis air, ia sudah bermula sejak tertubuhnya Malaysia ini pada 16 september 1963 yang lalu. Cuma masalah kali ini agak berlainan sedikit apabila ia mempunyai kaitan dengan bencana alam yang melanda Sabah baru-baru ini. Jika sebelum ini masyarakat boleh menggunakan sumber air daripada sungai jika berlaku krisis air, kali ini ia tidak berlaku. Malah krisis air yang berlaku kali ini juga dilihat berpunca daripada air sungai yang begitu tercemar sehingga tidak memungkinkan berlakunya proses rawatan air.

Persoalannya adakah tidak ada alternatif lain yang boleh diambil untuk mendepani masalah seperti ini?

Tidak adakah sumber air lain selain daripada sumber air sungai yang digunakan untuk rawatan air sekarang ini?

Setakat ini yang saya tahu kaedah alternatif menggunakan “tubewell” (sumber air bawah tanah) sahaja yang digunakan oleh segelintir penduduk. Namun itu adalah atas inisiatif sendiri.

Kerajaan wajar mengkaji kaedah yang lebih efisyen untuk membantu masyarakat secara keseluruhannya.

Saya mendapat maklum bahawa bukan semua sungai di Kota Belud tercemar akibat banjir lumpur yang berlaku sekarang. Sejauh mana kesahihannya saya tidak dapat pastikan kerana saya tidak melihat perkara itu dengan mata sendiri. Seandainya perkara itu benar, maka wajar dibangunkan loji rawatan air yang berhampiran dengan sumber tersebut sebagai alternatif sekiranya berlaku bencana luar jangka seperti sekarang ini.


Sekian dan terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan