Amir Nusantara

Khamis, 27 April 2017

Hitler: Sebuah Kematian Misteri, Khabar dari Indonesia.

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera

Siapa yang tidak mengenali tokoh besar perang dunia kedua, pemimpin Nazi Jerman iaitu Adolf Hitler. Hitler digambarkan sebagai seorang diktaktor yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh untuk mengekalkan dan memperkukuh kuasanya.


Semasa zaman penguasaannya, ramai musuh politik bahkan mereka yang hanya dicurigai sebagai tidak sehaluan dengannya telah dibunuh dengan kejamnya. Peristiwa pembantaiannya terhadap bangsa yahudi pastinya menjadi peristiwa besar yang paling diingati oleh dunia bagi menggambarkan bagaimana rakusnya Adolf Hitler, meskipun wujud banyak keraguan tentang kebenaran peristiwa tersebut berdasarkan kajian-kajian ilmiah. Namun peristiwa itu sehingga kini digunakan oleh bangsa yahudi sebagai hujah untuk mengemis simpati masyarakat dunia.

Kebanyakan tulisan menyebut bahawa pemimpin Nazi ini telah mati membunuh dirinya selepas tewas dalam perang dunia kedua. Ada pendapat yang menyatakan Hitler meninggal selepas menembak dirinya, ini adalah  berdasarkan bukti tengkorak yang didakwa sebagai milik Hitler yang mempunyai kesan tembakan,ada pula mengatakan akibat meminum racun, ada pula pendapat mengatakan beliau menembak dirinya selepas meminum racun. Selama berpuluh tahun masyarakat dunia beranggapan bahawa Hitler telah meninggal dunia akibat membunuh diri selepas tewas dalam perang.

Persoalan tentang kebenaran kematian Hitler itu kembali menjengah ke alam fikiran apabila kajian mendalam mendapati bahawa tengkorak yang selama ini dianggap sebagai milik Hitler sebenarnya adalah milik seorang wanita yang beusia lingkungan 40 tahun. Ia lebih mencurigakan apabila usia Hitler ketika dia didakwa meninggal dunia itu adalah sekitar 50 tahun ke atas.

Sebuah buku tulisan Agus Nur Cahyo yang bertajuk Adolf Hitler, Biografi dan Sejarahnya mendakwa bahawa terdapat bukti-bukti yang meyakinkan bahawa Adolf Hitler tidaklah mati pada waktu yang dipercayai oleh dunia sebagai hari kematiannya, tetapi Hitler didakwa berjaya meloloskan dirinya ke beberapa buah Negara eropah sebelum menjejakkan kakinya buat terakhir kali ke nusantara iaitu di bumi Indonesia.

Seorang tokoh yang bernama Sosrohusodo mendakwa bahawa dia telah bertemu dengan seorang yang bernama Dr Poch. Dr Poch inilah yang dikatakan sebagai Hitler yang menyamar berdasarkan ciri-ciri yang ada pada dirinya. Dr Poch merupakan seorang warganegara Jerman bersama dengan seorang isterinya yang juga warganegara Jerman.

Dr Poch Adalah Hitler?
Dr Poch menurut Sosrohusodo mempunyai masalah dengan kaki dan tangan kirinya serta berkepala botak. Apabila ditanya tentang sejak bila tangannya mengalami masalah bergetar tersebut, Dr Poch kembali bertanya kepada Isterniya dalam bahasa Jerman, kemudian Isterinya menyatakan juga dalam bahasa Jerman bahawa perkara itu bermula sejak tentera Jerman tewas dalam perang di Moscow, selepas seorang tokoh yang bernama Goebbels memaklumkan kepadanya tentang kekalahan itu.

Lalu siapakah Goebbels? Adakah Joseph Goebbels? Seorang Menteri Nazi semasa pemerintahan Hitler?

Menurut Sosrohusodo juga, adakalanya Isteri Dr Poch memanggilnya dengan Dolf. Adakah dolf itu merupakan singkatan kepada Adolf?

Dr Poch mempunyai masalah dengan kaki kirinya, Sosrohusodo menyatakan bahawa kaki kiri Dr Poch ini adalah tidak normal. Demikian pula kisah Hitler, yang mana kali terakhir dia dilihat sebelum peristiwa yang kononnya dia membunuh diri, dia berjalan dengan menyeret kaki kirinya.

Ia berdasarkan satu artikel bertajuk “Cerita Nyata Hari Terakhir Seorang Diktaktor” yang ditulis oleh Heinz Linge seorang yang pernah rapat dengan Hitler. Dalam tulisan tersebut, Heniz menyatakan bahawa
…Fuhrer sejak itu, jika berjalan maka dia akan menyeret kakinya, iaitu kaki kiri. Penglihatannya pun sudah mula kurang terang serta rambutnya hampir sama sekali tidak tumbuh. Kemudian, semasa perang semakin bertambah sengit dan Jerman mula berada dalam keadaan terdesak, dia mula menderita penyakit kejang urat”.

Adakah kebetulan kaki kiri Dr Poch dan Hitler punya persamaan? Dr Poch berkepala botak, demikian juga dengan Hitler. Dr Poch mengalami Parkinson dan Hitler punya masalah kejang urat.

Pada akhir tulisannya dalam artikel tersebut, Heinz menyebut, “Tetapi aku bersyukur, bahawa mayat dan kubur Hitler tidak pernah ditemui”.

Lalu mayat siapakah yang selama ini yang diyakini oleh manusia sebagai mayat Hitler?

Buku catatan misteri Dr Poch.
Penjejakan sosrohusodo membawa beliau menemui seorang wanita yang didakwa pernah menjadi isteri Dr Poch setelah isteri pertamanya kembali ke Jerman. Wanita yang mau dikenali sebagai puan S itu kemudiannya memberi buku catatan harian Dr Poch kepada Sosrohusodo.  Catatan misteri Dr Poch dalam bahasa Jerman yang ditulis dengan huruf steno. Dalam catatan misteri yang berjudul “keterangan ringkas tentang pemburuan Individu oleh Pihak Berikat dan Kerajaan Setempat pada tahun 1946 di Salzburg ( satu wilayah di Austria)” itu, terdapat susunan abjad-abjad (B,S,G,J,B,S,R) yang ditulis dengan huruf besar yang berkemungkinan sebagai simbol tempat yang pernah Dr Poch/ Hitler lalui untuk melarikan diri.

Susunan abjad ini diterjemahkan oleh Sosrohusodo menjadi B=Berlin, S=Salzburg, G=Graz, J=Jugoslavia, B=Beograd, S=Sarajevo dan R=Rome. Dengan ini dikatakan bahawa Rome adalah kota terakhir yang mereka jejaki sebelum menginggalkan benua Eropah. Ia selaras dengan data passport Dr Poch yang menyatakan passport bernombor 2624/51 diberikan di Rome. Dalam buku catatan tersebut, Dr Poch menyebut “… kami perlu pergi ke R untuk menerima surat passport yang kemudian Berjaya membawa kami meninggalkan Eropah”.

Pengakuan Puan S
Suatu hari dikatakan bahawa Dr Poch pernah mencukur kumisnya seperti kumis Hitler, kemudian Isterniya iaitu puan S mengatakan kepadanya bahawa kumis suaminya itu persis dengan Hitler. Dr Poch malah mengeyakan bahawa dirinya adalah Hitler, tetapi meminta isterinya itu tidak memberitahu orang lain.

Meninggal Dunia sebagai seorang Muslim
Dr Poch dikatakan telah memeluk Islam dan bernikah dengan puan S serta menggunakan nama sebagai abdul Kohar (nama lainnya Djamaludin). Dr Poch meninggal dunia di Surbaya dan dikebumikan Perkuburan Awam Ngagel Utara, Jalan Bung Tomo, Surabaya.

*Demikianlah kisah satu sudut daripada misteri kematian Adolf Hitler, tulisan di atas sebenarnya adalah berdasarkan sumber bacaan daripada buku yang bertajuk Adolf Hitler, Biografi dan Sejarahnya  tulisan Agus Nur Cahyo.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan